Imam Shafi’e Wahhabi?

-Sebuah Catatan Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus di: http://www.detikdaily.net/v5/modules.php?name=News&file=article&sid=4945

Melihatkan kepada tajuk artikel ini pasti ramai yang terpinga-pinga bahkan mungkin ada yang mengurut-urut dada kerana sesak nafas seolah-olah satu malapetaka besar bakal menimpa umat Islam di Malaysia yang terkenal dengan kepatuhan mereka kepada mazhab Syafi’i.

Namun janganlah runsing atau gundah-gulana kerana tajuk yang kelihatan seperti boleh menimbulkan kontroversi ini hanyalah bertujuan untuk membuka minda mereka yang keliru dengan isu Wahhabi yang dimainkan oleh beberapa tokoh di akhbar-akhbar tempatan beberapa minggu kebelakangan ini.

Sesetengah golongan yang menganggap diri mereka sebagai pembela Ahli Sunnah Wal Jamaah bahkan penganut mazhab Syafi’i yang tulen amat menentang budaya talfiq atau mengikuti hukum tentang sesuatu perkara daripada pelbagai mazhab.

Umat Islam di Malaysia khususnya orang Melayu diwajibkan untuk hanya berpegang kepada mazhab Syafi’i sahaja bagi kekal sebagai Ahli Sunnah Wal Jamaah. Mereka yang mengamalkan talfiq maka tercemarlah pemikiran mereka dan jadilah mereka ini kelompok Wahhabi. Tetapi apa yang menghairankan adalah, Imam al-Syafi’i sendiri tidak pernah menyuruh sesiapapun untuk mengikuti pandangan beliau sepenuhnya. Bahkan Imam al-Syafi’i amat menganjurkan anak murid serta pengikutnya untuk menimbang pandangannya dengan al-Qur’an dan al-Sunnah sebelum menerimanya.

Dalam erti kata lain amalan talfiq itu tidak pernah ditentang oleh Imam al-Syafi’i sendiri. Menurut Imam al-Syafi’i: “Bila kalian menemukan dalam kitabku sesuatu yang berlainan dengan hadis Rasulullah, peganglah hadis Rasulullah itu dan tinggalkanlah pendapatku itu.” (Riwayat al-Harawi di dalam Dzamm al-Kalam, al-Khatib di dalam Ihtijaj bi al-Syafie, Ibn Asakir, al-Nawawi di dalam al-Majmu’, al-Fullani, Ibn al-Qayyim, Abu Nu’aim di dalam al-Hilyah dan Ibn Hibban di dalam sahihnya.) Beliau juga pernah berkata: “Apabila suatu masalah ada hadisnya yang sahih daripada Rasulullah s.a.w menurut kalangan ahli hadis tetapi pendapatku menyalahinya, pasti aku akan mencabutnya (meninggalkannya) sama ada ketika aku masih hidup atau selepas kematianku.” (Riwayat Abu Nu’aim di dalam al-Hilyah, al-Harawi, Ibn al-Qayyim di dalam al-I’lam dan al-Fullani) Namun apabila ada golongan di Malaysia yang mengikuti saranan Imam al-Syafi’i ini maka mereka dianggap telah menderhaka kepada Mazhab Syafi’i versi Malaysia yang dipandang paling tulen.

Melafazkan niat Usholli ketika mengerjakan solat fardu mahupun sunat merupakan ciri-ciri yang penting untuk menjamin seseorang itu sah bermazhab Syafi’i. Jika ada yang berpegang kepada pendapat tidak perlu berniat Usholli ketika solat maka tipislah harapannya untuk mendapat tauliah mengajar agama di sesetengah negeri. Anehnya jika kita buka kitab al-Umm maka tidak wujud satu batah barispun yang mengajar kita lafaz niat Usholli mahupun Nawaitu. Bagi Imam al-Syafi’i niat itu adalah perbuatan di dalam hati dan solat itu dimulakan dengan lafaz takbir. Di dalam al-Umm beliau berkata: “Siapa yang pandai membaca takbir, niscaya tidaklah dia memulakan solatnya melainkan dengan takbir itu sendiri dan takbirnya ialah Allahu Akbar.”

Jika selepas solat pula tidak diamalkan zikir beramai-ramai dengan suara yang kuat, pengamalnya berkemungkinan tinggi akan terus dicop sebagai pengikut ajaran Wahhabi yang dianggap oleh sesetengah pihak tidak termasuk dalam kalangan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Kita buka sekali lagi kitab al-Umm dan lihat apa yag diperkatakan oleh Imam al-Syafi’i tentang zikir lepas solat. Menurut beliau: “Saya (Imam al-Syafi’i) memandang baik bagi Imam dan makmum, bahawa berzikir kepada Allah, sesudah keluar (selesai) daripada solat. Kedua-duanya menyembunyikan zikir kecuali bahawa dia itu adalah seorang imam yang harus orang belajar darinya. Allah Azza wa jalla telah berfirman: “… dan janganlah engkau menyaringkan bacaan doa engkau atau solatmu, juga janganlah engkau perlahankannya. ..” (al-Israa’ (17):110) Iaitu – Allah sahaja yang Maha Mengetahui ialah doa. Tidaklah engkau keraskan, ertinya janganlah engkau tinggikan suara. Dan tidak engkau diam sahaja, ertinya sehingga tidak dapat engkau dengar sendiri. “ Imam al-Baihaqi seterusnya memperjelaskan mazhab al-Syafi’i dalam kitabnya Sunan al-Kubra: “Bahawa zikir dan doa sesudah solat harus diperlahankan (secara sirr) kecuali jika imam ingin mengajarkan zikir itu kepada manusia, maka dikuatkan (secara jahr) supaya dapat dipelajari. Apabila sudah selesai dipelajari dan diketahui, maka zikir dan doa itu haruslah diperlahankan (secara sirr semula – pen).” Sekian pandangan sebenar Imam al-Syafi’i tentang zikir selepas solat tetapi malangnya wujud sesetengah tokoh di Malaysia ini beranggapan mereka itu lebih Syafi’i daripada Imam al-Syafi’i itu sendiri.

Mengkritik amalan mengirim bacaan pahala kepada arwah seperti ritual tahlil ketika kenduri arwah atau membaca al-Qur’an di tepi kubur bukanlah satu tindakan yang bijak di Malaysia. Si pengkritik pasti akan dihambur dengan pelbagai kata-kata berbentuk celaan dan yang paling popular tentulah tuduhan sebagai Wahhabi. Imam al-Nawawi di dalam Syarah Muslim telah berkata: “Adapun bacaan al-Qur’an (yang pahalanya dikirimkan kepada simati) maka yang masyhur di dalam mazhab Syafi’i tidak dapat sampai kepada si mati yang dikirim… Sedang dalilnya bagi Imam al-Syafi’i dan pengikut-pengikutny a iaitu firman Allah: “…bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya.” (Al-Najm (53) : 39) dan Sabda Nabi s.a.w.: “Apabila manusia telah meninggal dunia, maka terputuslah amal usahanya kecuali tiga hal iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh (lelaki atau perempuan) yang berdoa untuknya.” (Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi) Namun kata-kata Imam al-Nawawi ini bagaikan tiada nilai bagi pembela-pembela mazhab Syafi’i di Malaysia.

Bagi mereka yang tidak mahu mengerjakan kenduri arwah bukan sahaja dinggap menderhaka kepada mazhab Syafi’i bahkan adakalanya mereka dicerca sebagai golongan bakhil. Beginilah sikap mereka yang mengaku sebagai pejuang mazhab Syafi’i di Malaysia, sudahlah keluarga arwah sedang bersedih dengan pemergian insan yang mereka sayangi, dipaksa pula keluarga arwah tersebut untuk menyediakan jamuan makan agar perut mereka dapat diisi. Adakah ini benar-benar pandangan mazhab Syafi’i? Di dalam kitab I’anatu al-Talibin ada disebut tentang isu kenduri arwah menurut mazhab al-Syafi’i: “Apa yang telah menjadi kebiasaan manusia menjemput orang menyediakan hidangan makanan oleh keluarga si mati adalah bidaah yang dibenci, termasuklah di dalam hal ini berkumpul beramai-ramai di rumah keluarga si mati kerana terdapat hadis sahih dari Jabir bin Abdullah r.a, dia berkata: “Kami menganggap berkumpul beramai-ramai di rumah si mati dan menyiapkan makanan sebagai ratapan.” (Hadis riwayat Imam Ibnu Majah) Indahnya pandangan mazhab Syafi’i yang asal berbanding dengan pegangan mereka yang mengaku Syafi’i di Malaysia. Masyarakat sekeliling sepatutnya membantu dalam menggembirakan keluarga arwah dengan membawa makanan kepada mereka. Hujjatul Islam Imam al-Ghazali di dalam al-Wajiz Fi Fiqhi al-Imam al-Syafi’i telah berkata: “Disukai membuat makanan untuk keluarga si mati.” Jangan pula selepas ini Imam al-Ghazali juga dikatakan Wahhabi.

Sekiranya ketika urusan pengkebumian jenazah tidak dilakukan amalan talqin, pasti ia akan menjadi topik bualan yang hangat di sesebuah kampung kerana ia dianggap telah mencemar tradisi orang Melayu yang berteraskan mazhab Syaf’i. Tapi hakikatnya amalan talqin ini tidak pernah tertulis di dalam mana-mana kitab Imam al-Syafi’i itu sendiri. Hanya sahaja ulama bermazhab syafi’i yang kemudian menganggap ianya sunat. Dr. Muhammad A.W. al-‘Aqil di dalam kitab Manhaj Aqidah Imam al-Syafi’i telah berkata: “Mengenai Talqin, yang popular di kalangan masyarakat yang dilakukan setelah penguburan mayat, di mana salah seorang berdiri di sampingnya untuk mengajari mayat dengan lafaz berikut: “Hai Fulan bin Fulan, ingatlah kalimah yang engkau pegang sampai masuk ke kubur, iaitu bersaksi bahawa tidak adal Illah kecuali Allah dan Muhammad adalah Rasulullah…” dan seterusnya, atau lafaz lain yang semakna, maka kami tidak mendapatkan keterangan dari Imam al-Syafi’i tentang masalah ini. Kami hanya mendapatkannya dari ulamak mutaakhkhirin (yang datang kemudian) dari para pengikut mazhab Imam al-Syafi’i.”

Hiasan-hiasan dikuburan seperti binaan kubah terutamanya di kuburan mereka yang di anggap sebagai para wali atau peneraju sesebuah tarekat merupakan satu perkara yang terima sebagai baik bagi pembela Ahli Sunnah Wal Jamaah di Malaysia. Suasana yang kondusif ini amat bersesuaian untuk mereka melakukan ibadah-ibadah tertentu di kawasan perkuburan tersebut. Yang menghairankan Imam al-Syafi’i sendiri tidak pernah menganjurkan ibadah-ibadah seperti tawassul, membaca al-Qur’an, tawaf atau menyembelih haiwan korban di kawasan perkuburan. Menurut Ibnu Taimiyyah r.h di dalam Iqtidhaa’ Shirathal Mustaqim: “Daripada al-Syafi’i sendiri tidak terdapat perkataan tentang masalah ini, yang demikian ini menunjukkan bahwa (baca al-Qur-an di perkuburan) menurut beliau adalah bidaah.” Tambahan pula Imam al-Syafi’i sendiri melarang dinaikkan sebarang binaan di atas kubur. Menurut beliau di dalam al-Umm: “Saya menyukai agar kuburan tidak dibangunkan dan tidak pula dikapur kerana perkara ini menyerupai hiasan dan kebanggaan sedangkan kuburan bukanlah perhiasan atau bangunan yang dibanggakan; dan saya tidak melihat kuburan golongan muhajirin dan ansar (iaitu para sahabat Nabi) yang dikapur.” Imam al-Nawawi r.h pula di dalam kitab Majmu’ menyatakan: “Imam al-Syafi’i dan para sahabatnya mengatakan bahawa termasuk hal yang dibenci adalah menembok kuburan, menuliskan nama si mati atau yang lainnya dan juga membangunkan binaan di atasnya. Ini tiada perbezaan pendapat di kalangan kita. Dengan mazhab (pendapat) ini pula Malik, Ahmad, Daud dan majoriti ulama telah berfatwa.” Tetapi pandangan sebegini tidak boleh diajarkan kepada umat Islam di Malaysia kerana takut ia boleh mengelirukan orang awam walaupun tidak dapat dinafikan ia adalah pandangan Imam al-Syafi’i.

Memadailah dengan beberapa contoh di atas yang diketengahkan bukan bertujuan untuk mengeruhkan lagi suasana atau mengelirukan sesiapa. Tapi ia sekadar untuk mengingatkan kepada sesetengah pihak agar mengkaji terlebih dahulu perbezaan pendapat yang wujud di kalangan mazhab-mazhab dalam Islam sebelum menuduh seseorang itu terkeluar dari kelompok Ahli Sunnah Wal Jamaah kerana tidak berpegang kepada mazhab Syafi’i. Walaupun seseorang itu pernah belajar dipondok mahupun lulusan dari Institut Pengajian Tinggi di Timur Tengah, ia tidak menjamin bahawa dia telah menguasai semua cabang ilmu. Qatadah pernah berkata: “Barangsiapa yang tidak mengenal ikhtilaf (perbezaan pendapat), maka dia belum mencium fikih (ilmu Fekah) dengan hidungnya.” Bila kefahaman tentang perbezaan pendapat yang ada dalam Islam ini tidak berada ditahap yang memuaskan, maka pandangan yang sebenarnya berasal daripada Imam al-Syafi’i turut dipolemikkan sebagai Wahhabi. Jangan nanti pandangan Imam al-Syafi’i terpaksa diketepikan demi untuk menjaga kesinambungan Mazhab Syafi’i versi Malaysia sebagai satu-satunya mazhab yang boleh diamalkan di negara ini.

Sebagai nasihat kepada semua hayatilah sebuah riwayat daripada ‘Uthman bin Atha’ daripada bapanya, dia berkata: “Tidak seharusnya seseorang berfatwa kepada manusia sebelum dia mengetahui ikhtilaf yang terjadi di kalangan manusia (ulama), kerana jika dia melakukan hal itu, boleh terjadi dia menolak ilmu yang sebenarnya lebih thiqah (terpercaya kebenarannya) dari ilmu yang dia yakini.” Berlapang dadalah dalam isu-isu yang terdapat perbezaan pendapat di kalangan para ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah.

About helwa

We enter this world alone, we take our last bow from this plane of existence alone...we stood before Him alone....
This entry was posted in do'a & zikir-zikir amalan and tagged , , . Bookmark the permalink.

One Response to Imam Shafi’e Wahhabi?

  1. nurul says:

    sgt bagus isinya! meskipun ringkas tp cukup padat. penuh dgn info2 yg insyaAllah dpt menje;askn dn meleraikn masalah bida’ah yg timbul di m’sia dn menyangka ia adalah drpd imam syafie’. Astaghfirullah..sungguh besar tuduhn itu. tetapi melalui artikel ini, alhamdulillah dpt mmbuka mata pihak yg mmbca. -insyaAllah-

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s