Surah Muhammad : Pengajaran dan Perspektif Untuk Para Du’at

 
Artikel oleh Mohd Rumaizuddin Ghazali dari Minda Madani Online
 
 
Surah Muhammad merupakan surah ke 47 dalam al-Quran iaitu selepas surah al-Ahqaaf. Dinamakan surah Muhammad kerana ia menerangkan penurunan al-Quran kepada nabi Muhammad. Dalam al-Quran lafaz nabi Muhammad hanya disebut pada empat tempat sahaja. Ayat-ayat tersebut ialah Surah Ali Imran ayat 144, Surah al-Ahzab 40, Surah Muhammad ayat 2 dan Surah al-Fath ayat 29. Surah ini juga dinamakan sebagai surah al-Qital kerana ia membahaskan hukum-hukum berkaitan dengan peperangan sama ada ketika peperangan dan selepas peperangan seperti hukum orang-orang tawanan. Permulaan surah ini mempunyai ikatan yang kuat dengan akhir surah al-Ahqaaf dan sekiranya tidak ada perkataan Bismillah seakan-akan ia merupakan satu ayat.
 
Isi Kandungan Surah :

Surah ini mengandungi tajuk berkaitan dengan jihad, undang-undang peperangan, orang tawanan, harta rampasan, gambaran orang mukmin serta ganjaran dan gambaran orang kafir serta balasan yang akan diterima di akhirat kelak. Surah ini bermula dengan menerangkan golongan kafir yang merupakan musuh Allah dan kaum muslimin dan kemurkaan Allah ke atas mereka. Di samping itu, Allah menjelaskan golongan mukmin yang Allah reda kepada mereka. Allah menjamin bahawa sesiapa yang menolong Allah pasti mereka akan mendapat kemenangan. Allah juga menjelaskan bagaimana kaum kafir telah musnah disebabkan kedegilan dan kemungkaran yang telah dilakukan.

Surah ini juga mengambarkan keadaan syurga yang diperolehi oleh orang yang beriman dan neraka bagi tempat orang kafir. Allah juga menjelaskan bahawa akan berlaku pertentangan dari golongan kafir terhadap orang mukmin tetapi kita mesti yakin bahawa segala perbuatan mereka itu tidak sedikitpun memudaratkan Allah dan yang pastinya segala amalan mereka menjadi sia-sia dan terbatal. Allah tidak akan mengampuni mereka. Di samping itu, kaum muslimin wajib taat kepada perintah Allah dan rasulNya. Surah ini diakhiri dengan kembali kepada topik asalnya iaitu berjihad pada jalan Allah sebagai satu-satunya jalan untuk membawa kemuliaan umat, menjauhi segala bentuk yang boleh membawa umat ke arah kemunduran dan kehinaaan. Allah juga menyeru kepada umat Islam supaya menderma harta pada jalan Allah. Al-Tabrani menyebutkan dari Ibn Umar r.a berkata bahawa nabi s.a.w. selalu membaca surah ini ketika solat Maghrib.

Bersesuaian dengan suasana perang dan kekerasan, maka ayat dalam surah ini mengambarkan kedahsyatan bunyi kata-kata yang mengungkapkan gambaran peperangan. Setiap ayatnya di selubungi suasana dan keadaan perang. Bunyi akhir ceraian-ceraian ayat itu berdentum-dentum sejak dari permulaan lagi seolah-olah bunyi letupan bom yang berat iaitu kata-kata ‘amalahum, balahum, amthalahum, ahwa’ahum dan apabila bunyinya perlahan, maka ia seolah-olah bunyi libasan mata pedang di udara iaitu kata-kata awzaruha, amthaluha dan aqfaluha. Dijelaskan juga gambaran suasana peperangan dengan kata-kata yang mengungkapkan gambaran tersebut.Misalnya pertempuran dan pembunuhan diungkapkan : “ Apabila kamu bertemu dengan orang-orang kafir (di medan pertempuran) maka pancunglah leher mereka.” (Muhammad 4). Suasana ketakutan dan kecemasan pada orang-orang munafik digambarkan dengan satu pemandangan yang keras. Firman Allah : “ Mereka memandang kepadamu dengan mata terbalalak kerana takut mati.” ( Muhammad 20) Perlu diketahui, bahawa bunyi dalam setiap ayat al-Quran mempunyai pengertian yang tersendiri dalam menjelaskan makna ayat tersebut. Oleh sebab itu, para ulamak menetapkan bahawa orang yang hendak menafsir al-Quran perlu mengetahui bahasa Arab kerana setiap kalimah dan ayat al-Quran itu mempunyai makna dan mesej tersendiri.

Balasan Terhadap Orang Kafir, Munafik, Dan Keampunan kepada Orang Mukmin

Balasan orang kafir yang menentang ajaran Islam ialah segala amalan mereka akan terhapus dan mereka tidak akan mendapat taufik untuk mencapai kebahagiaan. Sementara orang mukmin yang beriman dan beramal soleh, mengikuti ajaran al-Quran akan mendapat keampunan dan penghapusan dosa-dosa terdahulu. Kehidupan mereka bertambah baik dan mulia.

Manhaj al-Quran apabila disebut iman dan amal soleh dikuti dengan keampunan dan ganjaran pahala seperti firman Allah yang bermaksud : “ maka orang-orang yang beriman dan beramal soleh, bagi mereka keampunan dan reziqi yang baik” (al-Hajj 50) “ Dan orang-orang yang beriman dan beramal soleh maka kami akan hapuskan daripada mereka segala kejahatan dan memberi ganjaran terbaik terhadap apa yang mereka kerjakan” (al-Ankabut 7)

Allah juga memberi ancaman dan amaran dengan mencerita akibat kaum-kaum terdahuku yang engkar terhadap hukum Allah iaitu menerima kemusnahan.

Firman Allah yang bermaksud : “ Tidakkah mereka menjelajah di bumi dan memperhatikan bagaimana akibat yang menimpa umat-umat yang sebelum mereka?Allah telah binasakan mereka dan orang-orang kafir akan menerima akibat-akibat yang sama seperti mereka.” (Muhammad 10)

Balasan kedua-dua golongan ini amat berbeza. Orang mukmin akan masuk syurga yang mengalir dibawahnya sungai-sungai, manakala orang kafir yang bersenang-lenang atas muka bumi seperti binatang, hidup untuk mengisi perut dan memuaskan hawa nafsu, maka neraka adalah tempat mereka.

Firman Allah yang bermaksud : “ Sesungguhnya Allah akan memasukkan orang-orang yang beriman dan mengerjaklan amalan-amalan soleh ke dalam syurga-syurga yang mengalir dibawahnya berbagai-bagai sungai. Dan orang-orang yang kafir hidup senang lenang di dunia dan mereka makan seperti makannya binatang-binatang ternakan, sedangkan api Neraka itulah tempat kediaman mereka.” (Muhamamd 12)

Allah gambarkan orang-orang kafir dengan satu gambaran yang amat hina yang menghilangkan sifat-sifat kemanusiaan. Ia mengambarkan cara makan binatang yang lahap, gelojoh, kasar dan cara makan tanpa citarasa seni yang halus dan tanpa perasaan segan silu. Itulah kenikmatan bebas lepas yang tidak terkawal, tidak diawasi takwa dan tidak dikawal hati nurani.

Sementara orang mukmin hanya memilih segala sesuatu yang baik di sisi Allah dengan kemahuannya tidak ditundukkan oleh hawa nafsu. Dia tidak menganggapkan seluruh hidup ini ialah meja makan dan peluang kenikmatan tanpa sesuatu matlamat yang lain di sebaliknya. Dia mempunyai sifat kemanusiaan yang tinggi dan mengetahui matlamat dan wawasan tertentu dalam hidupnya.

Orang munafiqin pula apabila mendengar kalimah daripada Rasulullah, mereka tidak memperdulikan peringatan Rasullah malahan apabila turunnya ayat berkaitan jihad, muka mereka berubah seperti orang yang ketakutan mati.Sebenarnya orang munafiq bersifat pengecut, cemas dan takut terhadap jihad. Mereka juga mempersendakan para sahabat kerana memberi perhatian dalam majlis ilmu yang disampaikan oleh Rasulullah.Oleh sebab demikian, Allah menutup hati-hati mereka untuk menerima pertunjuk dan hidayah.

Etika Peperangan

Islam mengharuskan membunuh secara keras dalam waktu peperangan kerana ia merupakan satu tabiat ketika berperang demi menakutkan musuh. Allah memberi pilihan kepada nabi dan orang–orang mukmin mengenai orang-orang tawanan iaitu boleh membebaskan mereka atau membebaskan mereka dengan tebusan berupa wang, perkhidmatan dan berupa pertukaran membebaskan orang-orang Islam yang tertawan.Ini merupakan dasar yang tetap bagi masalah orang tawanan. Sementara membunuh orang tawanan hanya dilakukan kerana menghadapi kes-kes yang tertentu dan keadaan-keadaan yang sementara sahaja.

Misalnya seorang pengintip telah ditawan, lalu ia dihukum bunuh atas kesalahan mengintip bukannya kerana ia seorang tawanan. Penawanannya di sini hanya merupakan satu cara untuk menangkapnya sahaja. Mengenai masalah memperhambakan orang-orang tawanan hanya berlaku dalam kes-kes tertentu yang wujud di zaman itu sahaja yang tidak dapat diselesaikan melalui tindakan membebaskan mereka atau dengan cara menebus orang tawanan. Tindakan memperhambakan orang tawanan bukannya tindakan yang menjadi salah satu dasar dalam melayani orang-orang tawanan di dalam Islam.

Sifat Syurga dan Neraka

Allah menyebutkan dalam surah ini gambaran syurga yang penuh dengan kenikmatan dari segi minuman dan makanan. Sementara ahli neraka minuman mereka terdiri daripada air yang mendidih dan kotor. Dalam syurga, Allah menggambarkan ahli syurga terdapat empat jenis minuman iaitu air minum yang bersih, tidak bertukar warna dan bau, minuman susu, minuman arak yang tidak memabukkan dan minuman madu yang disaring. Dimulakan dengan air bersih kerana ia merupakan sumber utama dan banyak memberi manfaat kepada manusia. Allah menjelaskan empat jenis sungai kerana air bersih merupakan satu benda yang amat diperlukan oleh manusia, susu merupakan satu keperluan, arak yang tidak memabukkan merupakan satu keseronokan dan madu merupakan satu jenis pengubatan.

Di samping itu, mereka diberi pelbagai jenis makanan dan buah-buahan. Ini merupakan ganjaran jenis madiah. Sementara ganjaran maknawi ialah keampunan, keredhaan dan rahmat dari Allah. Al-Razi mengatakan antara sebab Allah selalu menyebutkan sungai dalam menggambarkan syurga kerana sungai akan menumbuhkan pokok-pokok yang akan mengeluarkan buah-buahan, air sungai pula merupakan punca kehidupan alam, sementara api penyebab kemusnahan. Bagi orang mukmin, air dapat memberi manfaat dan bagi orang kafir api akan mendatangkan mudarat. Ahli neraka akan meminum air yang mendidih dan apabila mereka minum akan bertukar wajah dan mendidih perut dan terus keluar dari dubur mereka. Itulah gambaran orang yang kafir kepada Allah di atas dunia ini.

Taubat dan Memohon ampun untuk Orang Mukmin

Firman Allah yang bermaksud : “ Oleh itu ketahuilah bahawa sesungguhnya tiada tuhan yang wajar disembah melainkan Allah dan pohonkanlah keampunan kepada dosamu dan dosa orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan dan Allah mengetahui tempat kamu bergerak dan tempat kamu menetap.” (Muhammad 19)

Ayat ini menjelaskan perintah Allah supaya setiap orang Islam memohon ampun untuk dirinya dan orang mukmin keseluruhannya. Rasulullah s.a.w. sentiasa beristighfar dan berdoa.

Dalam satu hadis Sahih Rasulullah pernah berdoa selepas solat : “ Wahai tuhanku, ampunilah dosa-dosa daku sama ada yang terdahulu mahupun yang terkemudian, sama ada tersembunyi ataupun diketahui, dan Engkau lebih mengetahui dari daku, Engkaulah TuhanKu, Tidak ada Tuhan selain Engkau.”

Rasulullah menyeru umatnya supaya memperbanyakkan perkataan La Ia ilaha Illallah dan beristighfar kerana kebinasaan manusia akibat daripada melakukan dosa dan kemusnahan iblis apabila kita mengucap kalimah syahadah dan beristighfar. Rasulullah sendiri sentiasa memohon ampun dan beristighfar lebih dari 70 kali setiap hari. Sabda Rasulullah yang bermaksud : “ Bertaubatlah kamu kepada Tuhan Kamu, Seseungguhnya aku sentiasa memohon ampun kepada Allah dalam satu hari lebih dari tujuh puluh kali.”

Sebenarnya kehidupan seorang muslim yang menuju ke jalan Allah adalah bermula dengan taubat. Taubat yang akan mengangkat darjat dan tiada sesuatu yang lebih tinggi darjat taubat. Firman Allah yang bermaksud : “ wahai orang yang beriman, bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuha.”[at-Tahrim: 8] Para ulamak mengatakan bahawa taubat merupakan wajib ke atas setiap muslim dan orang yang tidak mahu bertaubat adalah orang-orang yang zalim.

Ini berdasarkan firman Allah yang bermaksud : “dan sesiapa yang tidak mahu bertaubat maka mereka adalah orang-orang zalim.” (al-Hujurat 11)

Allah amat menyukai orang yang bertaubat. Firman Allah yang bermaksud : “ Sesungguhnya Allah amat menyukai orang yang bertaubat dan orang yang bersih.” (al-baqarah 222)

Allah juga melarang umat Islam berputus asa dari rahmat Allah dan hendaklah sentiasa memohon ampun walaupun sebanyak mana dosa sekalipun kerana pintu taubat sentiasa terbuka luas.

Allah Pelindung dan Penolong Orang Mukmin

Allah menjanjikan bahawa orang yang menolong agamanya pasti Allah akam menolong kaum tersebut. Dan umat Islam perlu menaruh keyakinan yang tinggi bahawa Allah menjadi pelindung kepada kita dan bagi orang kafir mereka tidak ada pelindung. Ayat ini memberi pengajaran kepada para du’at supaya tidak berputus asa dan gelisah dalam menjalankan dakwah kerana Allah menjadi pelindung kepada umat Islam sama ada perlindungan itu berbentuk maknawi dan fizikal.Firman Allah yang bermaksud : “ Jika kamu menolong Allah, nescaya Allah akan menolong kamu dan akan meneguhkan kedudukan kamu.” (Muhammad 5)

Para pendakwah mesti yakin dengan janji Allah bahawa perbuatan orang-orang kafir dan orang-orang munafik yang menyekat agama Islam yang benar dari sampai kepada manusia, menentang Rasulullah dan enggan mengikuti agama Islam setelah diberitahu mengenai kebenarannya, maka segala tindak tanduk mereka tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah, agama Islam dan para pejuang-pejuangnya.

Sayyid Qutb ketika menafsirkan ayat : “ Tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun.” (Muhammad 32)

menegaskan bahawa mereka tidak dapat mengadakan sesuatu perubahan di dalam undang-undang Allah biarpun bagaimana hebat kekuatan mereka dan biarpun bagaimana besar kejayaan mereka menindas umat Islam dalam sesuatu ketika, kerana semua ini merupakan ujian sementara yang berlaku denagn izin Allah untuk sesuatu hikmat yang dikehendakiNya, dan bukan sesuatu mudarat yang kekal. Hukuman terhadap mereka telahpun ditentukan iaitu Allah akan menghapuskan pahala amalan-amalan mereka.

Kemenangan perlu disambut dengan kesyukuran dan kesyukuran itu adalah dengan menambahkan ketakwaan kepada Allah. Firman Allah yang bermaksud : “ Allah telah menolong kamu pada peperangan Badar sedangkan pada waktu itu bilangan kamu sedikit. Bertakwalah kamu kepada Allah mudah-mudahan kamu bersyukur. “ ( Ali Imran 123) Iman dan takwa yang mengeluarkan hidup manusia dari corak hidup permainan dan hiburan kepada kehidupan yang lebih serius dalam memikul amanah khilafah di atas muka bumi ini.

Pertolongan Allah telah terbukti nyata pada beberapa peperangan seperti perperangan Mesir -Israel pada tahun 1973 ( peperangan Asyir min Ramadhan) yang mana keluar mata air di Uyun Musa dan bandar Suez sedfangkan tempat tersebut nmerupakan gurun sahara yang ketandusan air, serangan udara dan pengeboman selama 13 jam tetapi tidak seorangpun daripada tentera yang mati, dan mayat-mayat tentera Islam tidak berubah walaupun tiga atau empat hari telah syahid. Kesemua ini merupakan pertolongan Tuhan. Oleh itu, keyakinan yang padu akan pertolongan Allah harus disemai sekuat-kuatnya dalam hati para pendukung dakwah.

Antara faktor kemenangan umat Islam ialah amalan soleh yang mereka lakukan. Saidina Umar telah menulis surat kepada Saad bin Abi Waqas dengan menyebutkan : “ Saya menyeru kepada engkau dan orang yang bersama kamu dari angkatan tentera supaya bertakwa dalam setiap masa. Ketakwaan kepada Allah adalah sebaik-baik persiapan untuk menentang musuh dan satu kekuatan dalam peperangan. Saya menyeru kepada kamu dan orang yang bersama kamu supaya sentiasa menjaga diri daripada melakukan maksiat dari maksiat yang dilakukan oleh musuh-musuh kamu. Sesungguhnya dosa-dosa tentera kamu lebih aku takuti dari dosa-dosa musuh kamu. Kemenangan kaum muslimin adalah maksiat yang dilakukan musuh kamu kepada Allah. Jika tidak, maka kita tidak ada kekuatan kerana bilangan kita tidak banyak seperti mereka dan persiapan kita tidak sehebat persiapan mereka. Jika kita terjerumus dalam maksiat maka mereka akan perolehi kemenangan kerana mereka mempunyai kekuatan ke atas kita.Mereka lebih berhak untuk menang ke atas kita dari segi kekuatan.”

Syarat kemenangan Islam ialah taat kepada perintah Allah dan menjauhi segala maksiat ketika kamu dalam berjihad pada jalan Allah. Selagi mana kita taat kepada Allah maka semakin hampir pertolongan Allah atas kita. Di samping itu, kemenangan hanya diperolehi apabila kita banyak bersabar kerana pertolongan Allah bersama dengan orang yang sabar. Rasulullah pernah berpesan kepada Ibn Umar dengan katanya : “ Ketahuilah bahawa kemenangan bersama dengan orang-orang yang sabar, kegembiraan bersama orang-orang yang berdukacita, kesenangan bersama orang-orang yang susah.” Orang-orang yang berjihad pada jalan Allah hendaklah sentiasa mengingatkan Allah dengan memperbanyakkan tasbih, tahmid dan takbir kerana ia merupakan kekuatan dalaman umat Islam untuk berjaya.

Umat Islam juga harus bertawakkal kepada Allah dan berjihad dalam satu saf yang tersusun. Dilarang sama sekali mereka berkelahi kerana perkara tersebut akan menghilangkan kekuatan dan kehebatan mereka. Firman Allah yang bermaksud : “Sesungguhnya Allah amat menyukai orang-orang yang berperang pada jalanNya dalam satu saf yang teratur seakan-akan mereka suatu bangunan yang tersusun kukuh.” (al-Hujurat 4) Orang mukmin perlu bergantung dan yakin kepada Allah, bukan kepada kekuatan kebendaan seperti banyaknya peralatan tentera atau banyaknya bilangan tenteranya kerana perkara ini bukan penentu kepada kemenangan dan pertolongan Tuhan. Allah telah memberi pengajaran kepada kaum muslimin apabila mereka bergantung kepada kekuatan tentera dan bilangan yang banyak dalam perang Hunain yang mana kaum muslimin kagum dengan bilangan yang banyak yang menyebabkan mereka hampir mengalami kekalahan. Dengan sebab pertolongan Allah sahaja mereka berjaya.

Di akhir surah ini, Allah menyeru orang mukmin supaya bersedekah pada jalan Allah.Orang yang bakhil untuk menderma adalah orang yang menahan dirinya untuk mendapat ganjaran pahala yang besar dari sisi Allah. Allah tidak akan rugi sedikit atas kebakhilan orang tersebut. Sebenarnya, dia yang mengalami kerugian.Allah adalah Maha kaya dan tidak pernah berhajat kepada harta kekayaan, manakala manusia adalah miskin dan sangat berhajat kepada Allah. Para du’at harus berpendirian bahawa selagimana dia menderma pada jalan Allah, Allah akan melipat gandakan ganjaran dan memberkati hartanya. Malahan hartanya tidak akan berkurangan sedikitpun apabila dia bersedekah. Sementara sifat bakhil penyebab umat tersebut hilangnya kehormatan diri, maruah, kemuliaan dan musuh akan menguasainya. Akhirnya, Allah akan mengantikan kaum yang lebih baik dari kaum tersebut. Pemilihan Allah terhadap kita adalah satu penghormatan yang tertinggi. Apabila kita tidak mahu berdakwah, menjunjung pemberian Allah yang banyak dan tidak berjuang melaksanakan syariatNya, maka Dia akan menarik balik segala pemberianNya dan akan memilih kaum yang lain dari kita untuk menjunjung pemberian ini, iaitu orang-orang yang tahu menghargai pemberian Allah.

Dengari bacaan Surah Muhammad oleh Imam As-Sa’ud ibn Ibrahim ibn Muhammad As-Syuraim, salah seorang imam di Masjidil Haram:

About helwa

We enter this world alone, we take our last bow from this plane of existence alone...we stood before Him alone....
This entry was posted in do'a & zikir-zikir amalan and tagged , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s