TAREKAT UJIAN BALA BENCANA: Cedokan Dari Kitab Kebenaran Hakiki

“Tarekat ujian bala adalah sistem latihan kerohanian yang Allah s.w.t susun kepada hamba-hamba-Nya yang dipilih untuk melaksanakan kewajipan sebagai khalifah atau wakil-Nya di bumi, menyeru umat manusia supaya kembali kepada jalan-Nya. Mereka mengajar manusia supaya mengenal Tuhan, mentaati peraturan-Nya, memakmurkan bumi ini dengan kebaikan dan membasmi kemunkaran. Tuhan Yang Maha Mengasihi tidak berhenti menghantarkan wakil-wakil-Nya kepada umat manusia supaya orang yang benar-benar ikhlas mahu mencari-Nya akan menemui-Nya melalui bimbingan wakil-Nya.'”

Allah s.w.t memilih dari kalangan orang-orang yang beriman orang-orang yang tertentu bagi menjalankan sesuatu tugas menurut kehendak-Nya. Mereka yang akan diberi tugas khusus akan dibawa melalui latihan kerohanian yang disusun secara langsung oleh Tuhan. Melalui latihan tersebut mereka mengalami perubahan kerohanian sehingga rohani mereka menjadi cukup kuat untuk menanggung beban tugas yang diamanahkan oleh Tuhan.

Latihan kerohanian secara khusus biasanya melibatkan ujian bala bencana. Ujian ditujukan kepada jiwa dan jiwa yang menghadapi tekanan ujian biasanya akan mengadakan tindak balas bagi menghadapi tekanan tersebut. Tindak balas itu membuat jiwa menjadi kuat dan berkemampuan menghadapi keadaan yang kan ditemui semasa menjalankan tugas khusus nanti.

Al-Quran telah menceritakan dengan indah kesah hamba Allah s.w.t yang telah berjalan dalam tarekat ujian bala. Surah Yusuf, surah yang ke dua belas, menceritakan kesah suka duka Nabi Yusuf a.s. Ketika kecilnya beliau a.s didengki dan dikhianati oleh saudara-saudara sendiri. Yusuf a.s dicampakkan ke dalam perigi yang dalam. Beliau a.s terpaksa tinggal di dalam perigi tersebut beberapa lama sehinggalah satu kumpulan pengembara datang ke tempat itu. Yusuf a.s diselamatkan daripada perigi tetapi dijual pula sebagai hamba. Beliau a.s dibeli oleh seorang bangsawan Mesir.

Zaman remaja Yusuf a.s menemukan beliau a.s dengan fitnah kaum wanita. Keelokan paras rupa Yusuf a.s menyebabkan beliau a.s menjadi idaman setiap wanita yang memandang kepada beliau a.s, termasuklah isteri tuannya sendiri. Keremajaan tidak membuat Yusuf a.s hilang pedoman. Beliau a.s berjaya melepaskan diri daripada perangkap wanita bangsawan, isteri tuannya itu, tetapi sebagai natijah kepada keengganannya melayani keinginan wanita tersebut beliau a.s telah dianiaya dan dimasukkan ke dalam penjara. Yusuf a.s menerima semua ujian itu dengan hati yang reda.

Ujian bala bencana yang dihadapinya satu persatu itu telah mematangkan jiwa Yusuf a.s. Bila jiwa beliau a.s sudah cukup kuat, tarekat ujian bala pun berakhir. Datang pula tarekat kehidupan harian. Yusuf a.s dikeluarkan daripada penjara dan dilantik sebagai Perdana Menteri Mesir secara terhormat.

Kesah suka duka Yusuf a.s memberi pengajaran kepada orang yang beriman bahawa hidup ini bukan selalunya senang, selesa dan mudah. Tidak semua yang diidamkan boleh diperolehi dan tidak semua yang dirancangkan boleh terlaksana. Kadang-kadang seseorang itu perlu melalui penderitaan yang lama sebelum menemui kebahagiaan. Yusuf a.s telah menempuh semua peringkat penderitaan dengan hati yang sabar dan tabah, sentiasa bertenang tanpa berkeluh-kesah. Setelah tamat tempuh ujian datanglah peringkat mempraktikkan apa yang sudah dipelajari selama berada dalam kursus intensif dahulu.

Nabi Musa a.s juga melalui tarekat ujian bala sebelum diangkat menjadi Rasul. Musa a.s berasal daripada keturunan Bani Israil. Kaumnya ditindas oleh kaum Kibti yang berkuasa. Pemerintah Kibti adalah Firaun. Ketika kaumnya ditindas oleh kaum Kibti, Musa a.s hidup dengan aman di dalam istana Firaun, kerana beliau a.s adalah anak angkat Firaun. Kehidupan yang tidak berhadapan dengan cabaran, penderitaan dan kesusahan tidak mampu membuat Musa a.s layak menerima jawatan sebagai Rasul Allah. Oleh itu Musa a.s dibawa kepada tarekat ujian bala bagi memantapkan kerohanian beliau a.s. Musa a.s dengan tidak sengaja telah membunuh seorang Kibti. Kejadian tersebut menimbulkan kemarahan kaum Kibti. Mereka berpakat untuk membunuh Musa a.s. Musa a.s terpaksa melarikan diri, meninggalkan negerinya dan kesenangan yang dinikmatinya. Beliau a. s terpaksa merantau dari satu tempat ke satu tempat sehingga beliau a.s sampai ke negeri Nabi Syuaib a.s. Beliau a.s tinggal bersama-sama Nabi Syuaib a.s dan bekerja sebagai pengembala kambing. Setelah beberapa tahun kemudian Musa a.s berkahwin dengan anak Nabi Syuaib a.s yang bernama Siti Safar.

Setelah berkahwin Musa a.s membawa isteri beliau a.s merantau. Semasa dalam perantauan itu Siti Safar yang sarat mengandung mengalami kesakitan. Ketika itu hari hujan. Musa a.s tidak dapat menghidupkan api untuk memanaskan isteri beliau a.s. Beliau a.s keluar mencari api. Beliau a.s melihat cahaya api dari kejauhan. Beliau a.s pergi ke sana. Sampai di sana bukan api yang beliau a.s temui. Musa a.s menemui destininya. Beliau a.s menyaksikan kenyataan Tuhan dan beliau a.s diangkat menjadi Rasul.

Sebagai pesuruh Allah s.w.t, Musa a.s menerima perintah yang sangat berat. Beliau a.s mesti kembali kepada kaum Bani Israil dan kaum Kibti, menyeru mereka supaya kembali kepada ajaran tauhid. Musa a.s mesti berhadapan semula dengan kaum yang masih lagi menyimpan dendam mahu membunuh beliau a.s. Perintah Allah s.w.t mesti dilaksanakan tanpa ragu-ragu dan dengan membuang segala kepentingan diri sendiri.

Tarekat ujian bala bermula daripada manusia yang pertama lagi. Adam a.s dan Hawa hidup senang lenang di dalam syurga. Kehidupan syurga adalah abadi. Di dalamnya tidak ada kematian, tidak ada penyakit, tidak ada susah, tidak ada panas, tidak ada lapar dan tidak ada apa sahaja yang tidak menyenangkan. Rupanya kehidupan syurgawi tidak cukup untuk memantapkan kerohanian seseorang manusia bagi mencapai makam pilihan Tuhan dan mampu menanggung tugas khusus yang Tuhan tentukan. Selama Adam a.s tinggal di dalam syurga beban sebagai khalifah di bumi tidak dipikulnya. Beliau a.s perlu menjalani perubahan bentuk kehidupan, untuk itu beliau a.s dihantar ke bumi, ke dalam dunia. Di bumi Adam a.s menjalani tarekat ujian bala. Beliau a.s mesti menjalani tarekat yang ada kematian, ada penyakit, ada kesusahan, ada panas, ada lapar ada berbagai-bagai perkara yang tidak menyenangkan. Tarekat ujian bala mengajar dan memperkenalkan apa yang tidak dialami dan dikenal di dalam syurga, dengan demikian pengalaman dan pengenalan Adam a.s menjadi sempurna. Baharulah Adam a.s layak memikul tugas sebagai khalifah Allah di bumi. Mahkota khalifah itu hanya boleh dipakai oleh Adam a.s setelah beliau a.s menjalani tarekat ujian bala dan memasuki pintu taubat. Ujian bala bencana dan taubat adalah dua perkara yang sangat penting dan berkesan dalam menaikkan taraf kerohanian seseorang insan.

Umat manusia yang dari keturunan Adam a.s akan mengulangi kesilapan yang pernah dilakukan oleh bapa mereka itu. Bahang syurgawi dirasakan juga oleh keturunan beliau a.s. Syurga adalah kekal abadi dan manusia merasakan tempat mereka tinggal ini juga abadi. Semasa di dalam syurga Adam a.s sangat menginginkan kehidupan yang abadi dan itulah yang membuatnya boleh diperdayakan oleh iblis supaya memakan buah daripada pokok larangan yang kononnya boleh membuatkan Adam a.s menjadi abadi di dalam syurga. Keturunan Adam a.s juga akan mendekati pokok larangan di dalam dunia kerana menyangkakan ia akan membuat mereka hidup kekal di dalam dunia. Pokok larangan di dalam dunia itu adalah hawa nafsu. Orang yang merasai buah daripada pokok hawa nafsu akan merasakan dunia ini sebagai syurga yang kekal abadi. Timbullah keasyikan kepada dunia dan lalailah mereka di dalam arus keseronokan. Dalam kelekaan itulah mereka dijajah oleh iblis.

Ketika manusia sedang asyik di dalam kelekaan dan dikuasai oleh iblis itu, jatuhlah kemurkaan Allah s.w.t ke atas mereka. Hancurlah syurga dunia mereka. Lenyaplah khayalan mereka tentang keabadian dunia dan kelazatan hawa nafsu. Tahulah mereka bahawa hawa nafsu adalah pokok larangan yang membuat manusia lupakan amanat Allah s.w.t. Manusia yang telah menerima padah daripada pokok larangan itu akan menjadi menyesal. Mereka bertaubat bersungguh-sungguh kepada Tuhan. Bercucuranlah air mata mereka membasahi pipi, misai dan janggut. Sujudlah mereka ke Hadrat Ilahi Yang Maha Pengampun, Maha Penyayang.

Taubat telah menjadikan Adam a.s sebagai manusia pilihan dan diberi kedudukan istimewa sebagai khalifah Allah di bumi. Taubat juga menjadikan keturunan Adam a.s sebagai manusia pilihan yang akan meneruskan tugas kekhalifahan di bumi. Manusia yang diheret kepada taubat adalah manusia istimewa yang dipilih oleh Allah s.w.t untuk mendapatkan rahmat dan kasih sayang-Nya.

Seseorang hamba yang akan memikul tugas kekhalifahan di bumi akan dipersiapkan melalui cara yang sesuai bagi memantapkan kerohaniannya. Ujian bala bencana merupakan satu bentuk latihan yang perlu bagi membentuk kewibawaan seseorang. Orang yang dibawa kepada tarekat ujian bala dipisahkan daripada kesenangan dan punca yang menyenangkannya. Dia dikeluarkan daripada alam keasyikan dan kelalaian. Beban dunia yang sedang dipikulnya, seperti kebesaran, kemuliaan dan kekayaan dicabut daripadanya. Dia dijadikan miskin sesudah kaya, hina sesudah mulia dan kerdil sesudah berkedudukan tinggi. Hamba yang melalui tarekat kemiskinan ini akan menjadi sangat miskin sehingga dia hampir-hampir mengemis untuk mendapatkan keperluannya. Tuhan selamatkannya daripada menjadi pengemis. Dibukakan sedikit pintu rezeki untuknya. Bekerjalah dia sesuai dengan bidang rezeki yang dibukakan kepadanya. Bidang kerja peringkat ini berbeza daripada bidang kerja yang lalu. Kali ini medan rezeki yang boleh diterokainya sangat sempit, tidak memadai untuk dia menyelesaikan masalah kehidupan yang dihadapinya, hinggakan dia hampir-hampir meminjam. Bila dia sampai hampir kepada keadaan akan meminjam, Tuhan bukakan sedikit lagi bidang rezekinya. Selamatlah dia daripada keperluan meminjam.

Latihan melalui tarekat ujian bala sehingga ke peringkat ini sudah berjaya menghancurkan sebahagian besar daripada keegoan dirinya. Dia sudah sampai ke pintu mengemis dan meminjam. Tuhan selamatkannya daripada mengemis dan meminjam kerana masih ada lagi sisa-sisa ego diri yang menghalangnya untuk mengemis dan meminjam dengan rela. Ujian bala bencana kan terus menekan keegoan dirinya sehingga sisa-sisa itu juga terhapus. Dia memasuki peringkat latihan kerohanian yang lebih berat. Pada peringkat ini pintu rezekinya ditutup sama sekali sehingga tidak ada jalan langsung untuknya mencari rezeki. Pintu meminjam juga tertutup baginya. Tuhan menghalang tangan manusia daripada memberinya pinjaman. Hiduplah dia dalam keadaan yang sangat susah. Beban berat yang menekan jiwanya itu menyebabkan hatinya ‘pecah’. Peringkat ini merupakan peringkat peralihan kepada perkembangan kerohaniannya. Dirinya yang lama ‘digantikan’ dengan diri yang baharu. Hati yang telah ‘pecah’ itu ‘digantikan’ dengan hati yang baharu. Dalam suasana hati yang baharu inilah dia dapat merasakan sesuatu hubungan yang unik dengan alam ghaib. Dia merasakan seakan-akan petunjuk dan bimbingan ghaib mendatangi hatinya. Dia merasai kemunculan gerak hati yang datang dari daerah kesedaran yang dalam. Gerak hati yang demikian menguasai jiwanya. Dia bergerak dan melakukan sesuatu dengan ‘arahan’ atau cetusan rasa yang seni, yang kuat menguasai hatinya dan dia yakin dengan cetusan rasa tersebut. Cetusan rasa atau gerak hati itulah yang menjadi pembimbingnya. Pada tahap ini baharulah dikatakan dia benar-benar memasuki bidang kerohanian.

Dia memasuki latihan kerohanian peringkat selanjutnya. Dia menerima cetusan rasa, gerak hati atau ‘perintah dari dalam’ agar dia mendapatkan apa yang diperlukan dengan cara meminta kepada orang lain. Tuhan bukakan tangan orang ramai supaya memberi kepadanya. Jika dia meminta dia akan memperolehi apa yang diperlukannya dan jika dia enggan meminta dia tidak akan memperolehi apa-apa. Peringkat meminta-minta ini merupakan latihan menghancurkan keegoan tahap paling halus. Sisa-sisa ego diri terhapus daripada hatinya. Tidak ada apa-apa lagi baginya kecuali mematuhi cetusan rasa atau gerak hati yang dinisbahkan kepada ilham yang dihantar oleh Tuhan. Perbuatan meminta-minta kepada orang lain tidak sedikit pun membuatnya berasa aib. Apabila orang ramai memberi apa yang dia minta, bertambahlah keyakinannya bahawa gerak hatinya adalah benar. Akhirnya dia sampai kepada tahap kematangan jiwa tanpa ego diri. Jadi, latihan di atas tidak diperlukannya lagi.

Bentuk latihan kerohaniannya diubah daripada meminta kepada meminjam. Tuhan bukakan hati orang ramai yang berkemampuan untuk memberinya pinjaman, walaupun pada zahirnya kelihatan dia tidak akan mampu membayar pinjaman tersebut. Dalam peringkat meminta-minta dahulu dia melihat makhluk sebagai sumber rezekinya. Pada peringkat meminjam ini pula dia melihat rezekinya datang daripada Tuhan melalui makhluk. Walaupun tangan manusia menghulurkan bantuan kepadanya tetapi dia melihat ‘Tangan’ Tuhan yang sebenarnya memberi. Dia melalui proses latihan yang demikian beberapa lama. Kemudian bentuk latihan diubah lagi.

Dalam peringkat latihan kerohanian yang berikutnya dia tidak boleh lagi melihat makhluk sebagai sumber rezeki dan juga tidak boleh bergantung kepada Tuhan melalui makhluk. Dia dibawa kepada suasana mesti bergantung kepada Tuhan semata-mata, tiada perantaraan. Pada peringkat ini Tuhan putuskan hubungannya dengan makhluk. Orang-orang yang dahulunya tidak keberatan memberi apa sahaja yang dia meminta dan meminjam, kini terhalang berbuat demikian. Tangan makhluk tertahan daripada memberinya sesuatu jika dia meminta kepada mereka. Dia hanya boleh meminta kepada Tuhan secara langsung. Jika dia memerlukan sesuatu, dia hanya perlu menadah tangannya, memohon kepada Tuhan, pasti Tuhan akan hantarkan apa yang diperlukannya itu melalui cara yang Dia pilih. Latihan yang begini membuat hatinya bergantung kepada Tuhan sahaja, tidak lagi melihat keberkesanan makhluk.

Kemudian latihan yang dikenakan kepadanya diubah dalam bentuk lain pula. Dia hanya boleh meminta kepada Tuhan dengan hatinya, dengan berharap penuh kepada Tuhan, tanpa ucapan lisan, tanpa menadah tangan. Jika dia meminta dengan lisan atau menadah tangan dia tidak akan memperolehi apa yang diperlukannya. Jika dia meletakkan harapan kepada Tuhan di dalam hatinya Tuhan akan memberi. Latihan begini menambahkan kesedaran dan penghayatannya bahawa Tuhan mengetahui yang zahir dan yang batin, yang diucapkan dengan lidah dan yang dibisikkan oleh hati, yang meminta dan yang mengharap. Bertambahlah pengenalannya tentang Tuhan.

Apabila dia sudah mengenali Tuhan secara demikian, dia dibawa kepada suasana latihan yang lain pula. Pada peringkat ini dia tidak boleh meminta apa-apa, baik secara lisan atau pengharapan dalam hati. Dia tidak boleh lagi berdoa atau menyampaikan hajatnya kepada Tuhan. Jika dia meminta atau berharap, apa yang diminta dan diharapkan itu tidak akan diperolehinya. Dia hanya boleh menyerah sepenuhnya kepada Tuhan. Terserah kepada-Nya mahu memberi atau tidak dan apa yang mahu diberi-Nya. Dalam suasana yang demikian dia dapati Tuhan tetap memberikan keperluannya walaupun dia tidak meminta dan mengharap. Tuhan tetap memeliharanya dan memberikannya apa yang patut. Pada peringkat ini dia mengenali Tuhan al-Karim yang memberi apabila diminta, memberi tanpa diminta, memberi hanya dengan hamba berhajat sahaja, memberi menurut keperluan hamba tanpa hamba meminta atau berharap, memberi yang lebih baik daripada apa yang hamba minta atau harapkan, memberi pada waktu yang sesuai hamba menerimanya dan memberi tanpa had, tanpa terpengaruh kepada permintaan, harapan atau kehendak sesiapa pun. Allah s.w.t adalah Tuhan yang berbuat apa yang Dia kehendaki. Pada tahap ini tidak ada lagi kehendak dan hawa nafsu yang mengingkari Tuhan pada si hamba itu. Inilah peringkat kewalian umum. Peringkat seterusnya bergantung kepada tugas khusus yang akan dipikul oleh hamba yang mencapai kewalian umum itu. Dari kalangan wali-wali yang umum itulah dipilih dan diberi latihan yang lebih khusus untuk menjalankan sesuatu tugas yang Tuhan kehendaki bagi manfaat makhluk-Nya.

Latihan kerohanian yang disusun oleh Tuhan secara langsung atau yang diistilahkan sebagai tarekat ujian bala memberi kesan yang lebih mendalam dan lebih cepat dalam mempertingkatkan kekuatan rohani, berbanding dengan latihan secara suluk dan lain-lain. Para sahabat Rasulullah s.a.w yang melalui tarekat ujian bala tidak perlu memasuki tarekat yang ada suluk atau khalwat, tetapi mereka merupakan golongan yang paling teratas dalam senarai wali-wali Allah s.w.t. Latihan secara bersuluk dan berzikir adalah jalan biasa, sementara pembentukan kerohanian secara ujian bala bencana adalah jalan pintas yang cepat menyampaikan kepada matlamat. Ahli ibadat dan ahli zikir mungkin mengambil masa dua tahun untuk mencapai tahap kerohanian yang dicapai oleh ahli bala dalam masa dua bulan.

Istilah ujian membawa maksud yang sangat luas. Ujian boleh ditakrifkan sebagai rangsangan atau pengaruh alam benda kepada rohani manusia. Alam benda pada hakikatnya tidak mempunyai sebarang kekuasaan dan kekuatan, tetapi percantumannya dengan alam rohani menyebabkan alam benda mampu mengeluarkan kesan dan pengaruh. Kesan dan pengaruh alam benda itu tertuju kepada rohani, iaitu menarik rohani agar melupakan kedudukannya yang asli yang hanya tahu bertauhid. Maksud ujian yang sebenarnya adalah ujian kepada pegangan tauhid. Rohani yang berpegang kepada tauhid diuji apakah alam benda akan membuatnya melakukan syirik. Dalam segi ini bolehlah dikatakan kewujudan alam benda hanyalah daya yang merangsang untuk menguji rohani. Ujian tersebut menjadi dalil sama ada rohani mampu bertahan dalam tauhid dan sampai kepada kedudukannya sebagai amr Tuhan atau pun jatuh ke dalam lembah syirik. Rohani yang dapat bertahan menerima ujian alam benda akan mengasihi Tuhan dan merindui-Nya. Rohani yang tewas di dalam ujian itu akan memanjai syahwatnya dan meletakkan sepenuh perhatian kepada alam benda.

Tujuan latihan kerohanian sama ada dengan cara berzikir atau ujian bala bencana adalah untuk mengeluarkan apa sahaja yang selain Allah s.w.t daripada hati. Hati hanya layak diisi dengan Allah s.w.t, kecintaan kepada-Nya dan ketaatan kepada-Nya, sementara yang selain-Nya hanya layak duduk di pinggiran sahaja. Bagi mencapai tahap ini diperlukan kesabaran. Kesabaran merupakan sumber kepada segala kebaikan dan melaluinya orang yang beriman dapat meningkat kepada taraf menyerah diri dengan sepenuh kerelaan kepada Tuhan. Daripada makam sabar orang mukmin melompat ke makam reda. Ketika di dalam makam kesabaran ada perjuangan menentang yang batal. Bila sudah sampai kepada makam reda perjuangan tidak ada lagi kerana yang batal sudah hancur. Tipu daya syaitan, rangsangan hawa nafsu dan tarikan dunia tidak ada kuasa terhadap orang yang reda sepenuhnya dengan peraturan dan kehendak Allah s.w.t. Hati yang demikian dinamakan hati yang bertauhid.

Pada peringkat permulaan menerima ujian daripada Tuhan si hamba banyak berdoa memohon Tuhan mengangkatkan kesusahannya dan memberikannya kesenangan. Tuhan tidak menerima rayuannya dan dia dibiarkan berterusan di dalam kesusahan. Dia menghadapi perjuangan batin yang hebat. Senjatanya adalah sabar. Dia bersabar dan terus bersabar sambil meletakkan harapan kepada Tuhan. Setelah beberapa lama, kesusahan dan masalah yang dihadapinya tidak juga terangkat daripada bahunya, mulalah berubah pandangannya. Dia mula menilai kembali apa yang menyusahkan dan menjadi masalahnya itu. Penilaian semula membuatnya melihat bahawa perkara yang dianggap sebagai kesusahan dan masalah itu sebenarnya bukanlah perkara besar yang perlu ditakuti untuk bertembung dengannya. Kesusahan dan masalah itu timbul daripada keinginannya terhadap sesuatu dan yang diingininya itu bukanlah sesuatu yang berharga, terutamanya pada sisi Tuhan dan pada kehidupan akhirat. Dia menyedari bahawa dia hanya mengejar sesuatu yang tidak berharga, yang diingini oleh hawa nafsunya, dan dia lari daripada sesuatu yang sangat berfaedah. Berubahlah keadaan hatinya dan hilanglah keinginannya kepada apa yang dia mahukan selama ini. Bila dia dapat mengalahkan keinginannya maka menanglah rohaninya. Rohani mula celik dan melihat kepada perjalanan takdir Tuhan, tidak lagi melihat kepada kekuatan makhluk yang bergerak di dalam arus takdir. Dia melihat bahawa segala perkara berada di dalam genggaman Tuhan. Tidak ada sesiapa yang berkuasa mendatangkan kebaikan dan kemudaratan kecuali dengan izin Allah s.w.t. Fanalah dia dalam lautan takdir.

Kefanaan di dalam lautan takdir memperlihatkan aspek ketuhanan pada segala kejadian. Dia melihat Tuhan yang mentadbir dan mengurus. Jika dia memperolehi sesuatu pengetahuan dia merasakan Tuhan yang mendatangkan pengetahuan itu kepadanya. Keadaan ini membuatnya merasakan seolah-olah Tuhan bertutur-kata dengannya. Bertambahlah keseronokannya mengenang Tuhan dan bertambahlah keinginannya mahu menghampiri Tuhan. Orang yang berada pada peringkat ini tidak berminat lagi untuk mendampingi makhluk Tuhan. Dia lebih suka bersendirian sambil mendengar ‘tutur-kata’ Tuhan. Fikirannya telah bebas daripada urusan orang ramai dan dunia seluruhnya. Dia juga telah membuang usaha dan ikhtiar untuk mendapatkan sesuatu. Dia tidak lagi menggunakan cara keduniaan untuk mendapatkan sesuatu faedah atau menghindarkan sesuatu bahaya. Dia bergantung dan menyerah bulat kepada Tuhan. Ini menandakan dia sudah berjaya menundukkan hawa nafsunya. Apabila dia maju ke hadapan lagi dia sampai kepada suasana tidak mempunyai sebarang matlamat dan tujuan, baik berupa keduniaan atau pun keakhiratan. Maksud dan tujuannya hanya satu, iaitu Allah s.w.t. Ini menandakan dia tidak lagi dikuasai oleh sebarang kehendak dan keinginan. Pada tahap ini apa yang muncul daripadanya terjadi secara spontan, tanpa berfikir atau merancang dan pada masa yang sama dia merasakan kedamaian dan kelazatan berhubungan dengan Allah s.w.t.

Apabila hawa nafsu, kehendak diri dan segala sesuatu telah hancur dari hatinya, maka hati itu menjadi sesuai untuk diisi dengan kehendak Allah s.w.t. Allah s.w.t menjadikannya insan baharu yang dilengkapi dengan kehendak dan tenaga yang baharu. Kehendaknya sesuai dengan kehendak Allah s.w.t dan tenaganya bergantung kepada kekuasaan Allah s.w.t. Allah s.w.t akan memeliharanya agar sisa-sisa nafsu dan kehendak diri tidak kembali menguasainya. Apabila sisa-sisa nafsu dan kehendak diri cuba muncul, Allah s.w.t akan menghancurkannya sehingga selamatlah hamba itu berada di dalam suasana yang baharu. Bila hamba telah sesuai dengan Allah s.w.t, perintah-Nya, peraturan-Nya dan kehendak-Nya, maka seluruh alam akan tunduk kepada hamba Allah itu. Bila hamba menetap di dalam menjaga agar tidak terjerumus ke dalam yang haram, maka apa sahaja yang haram akan lari daripadanya walau di mana dia berada. Begitulah keadaan wali Allah (hamba yang dipelihara dan dilindungi oleh Allah s.w.t).

Di dalam tarekat ujian bala si hamba bukan sahaja menjadi sasaran anak panah bala, malah kadang-kadang dia juga menjadi busur panah yang menghantar bala kepada orang lain, seperti peranan tanah, air, api dan angin yang menyampaikan bala kepada makhluk Tuhan. Bila Tuhan perintahkan air menghanyutkan apa sahaja, api membakar apa sahaja, angin menerbangkan apa sahaja dan tanah menimbuskan apa sahaja tanpa kasihan belas atau timbang rasa dan tidak ada ragu-ragu. Suami dipisahkan daripada isteri. Anak-anak dipisahkan daripada ibu bapa. Pemilik dipisahkan daripada harta miliknya. Tanaman dipisahkan daripada peladang. Ternakan dipisahkan daripada penternak. Hamba Tuhan iaitu manusia, juga sering berfungsi sebagai alat yang menyampaikan bala kepada orang lain. Khaidir a.s diperintahkan menebuk kapal dan membunuh kanak-kanak yang masih kecil. Ibrahim a.s diperintahkan menyembelihkan anaknya sendiri. Manusia lain juga biasa mendatangkan kesusahan kepada orang lain. Ada orang yang terlanggar orang lain dan menyebabkan kematiannya, meninggalkan isteri dan anak-anak tanpa tempat bergantung. Ada pula orang yang tertembak rakan sendiri semasa berburu. Ada juga kejadian seorang yang membawa anak jirannya bermain di pantai dan si anak tersebut mati lemas. Menjadi alat yang menyampaikan bala kepada orang lain lebih berat daripada menjadi sasaran bala, tetapi bila Tuhan kehendaki, perkara yang demikian tetap juga berlaku. Bila hamba reda menerima ujian bala dari Tuhan dan reda juga menjadi alat menyampaikan bala maka Allah s.w.t pun reda kepadanya:

Wahai nafsu muthmainnah! Kembalilah kepada Tuhanmu dalam keadaan reda (dan) diredai. Iaitu masuklah ke dalam (golongan) hamba-hamba-Ku. Dan masuklah ke dalam syurga-Ku. (Ayat 27 – 30 : Surah al-Fajr )

Hamba pilihan Tuhan dibawa kepada sesuatu matlamat yang khusus untuknya. Jika muncul di dalam hatinya sesuatu yang boleh mengubah haluannya menuju matlamat yang ditetapkan oleh Allah s.w.t, akan didatangkan ujian kepadanya agar kecenderungan yang cuba memesungkannya itu segera hilang dan dia kembali kepada haluan yang betul. Demikianlah hamba pilihan itu dijaga agar hatinya tidak terpengaruh dengan apa sahaja yang selain Allah s.w.t. Melalui proses yang demikian hatinya menjadi bersih dan langkahnya akan sentiasa berada di atas jalan yang lurus. Kesabarannya menghadapi ujian menjadi bertambah kuat. Bila Allah s.w.t reda dengannya, Dia akan menjaganya dan menyelamatkannya daripada kejahatan makhluk-Nya. Hati hamba itu menjadi kuat dalam mengawal anggotanya. Darjat takwanya bertambah dan tenteramlah dia di sisi Tuhan Yang Maha Perkasa.

Orang mukmin pilihan melalui dua peringkat kehidupan. Dalam peringkat pertama dia hidup dalam kesejahteraan, keberkatan dan menerima nikmat yang tidak terhingga. Perjalanannya sesuai dengan peraturan Tuhan. Rumah tangganya aman damai. Pekerjaan yang dibuatnya mendatangkan keberkatan. Doanya sangat makbul. Dia memperolehi ilmu yang halus-halus dan diberi pula kesempatan untuk menyaksikan perkara ghaib. Hiduplah dia dalam kedamaian, kesejahteraan, tidak diganggu oleh apa-apa pun. Kehidupan yang demikian menetap padanya beberapa lama sehingga dia menyangkakan itulah penetapan dan makamnya.

Kemudian datanglah peringkat kehidupannya yang kedua. Secara tiba-tiba sahaja Tuhan melontarkan batu-batu ujian kepadanya. Dia ditimpa oleh bala yang datang berturut-turut dan dari berbagai-bagai jurusan. Dia tidak berupaya menahan apa yang datang itu. Seluruh kehidupannya dibolak-balikkan oleh gelombang ujian. Dia menghadapi kesusahan dan penderitaan yang amat sangat. Perubahan yang berlaku secara mendadak itu membuatkan orang mukmin tadi tercengang-cengang, tidak mengerti. Dia kehilangan segala yang berharga. Orang-orang yang segolongan dengannya terpisah daripadanya tanpa sesuatu sebab yang kukuh. Dia tidak dapat mencari penjelasan. Jika datang sesuatu alamat atau mimpi dia tidak mampu menghuraikannya. Dia kehilangan pedoman untuk memahami sesuatu perkara yang sampai kepadanya. Bila dia membuat sesuatu janji dia tidak pasti apakah dia dapat melaksanakan janji tersebut. Bila dia berdoa tidak ada tanda-tanda yang doanya akan dimakbulkan. Bila dia cuba merenung ke dalam lubuk hatinya untuk mencari sesuatu keterangan, dilihatnya hatinya dibungkus oleh kejahilan. Apa juga cara yang digunakannya hanya kekecewaan yang ditemuinya. Hanya nasib malang yang menyata pada penglihatannya. Dia ditinggalkan dalam keadaan demikian beberapa lama. Dalam keadaan yang sudah sangat berat itu kadang-kadang kesusahan dan penderitaan ditambah lagi ke atas bahunya. Hatinya digoncangkan dengan sesungguhnya. Masuklah dia ke dalam ruang di mana semua pintu tertutup dan semua langkah terikat. Pada masa itu hatinya akan menjadi kosong. Tidak ada apa-apa lagi yang tinggal dalam hatinya. Tabiat dan sifat kemanusiaannya hilang terus. Kesedarannya terhadap dirinya tidak ada lagi. Dia tidak memperdulikan lagi kesusahan dan penderitaan yang menimpanya. Tatkala itu dia hanya mempunyai kesedaran rohani semata-mata.

Ujian yang datang dengan hebatnya secara bertimpa-timpa telah menghancurkan dirinya yang mempunyai kehendak dan nafsu, yang sebelum itu datang dan pergi bersilih ganti Setiap kali diri yang hilang itu kembali ia menggerakkan sisa-sisa nafsu dan kehendaknya yang masih tinggal. Ujian yang datang dengan hebat itu telah benar-benar menghapuskan sisa-sisa nafsu, keinginan dan syahwatnya. Baharulah dia benar-benar mencapai tahap yang suci murni iaitu kesucian roh sebelum berkait dengan jasad. Baharulah dia benar-benar masuk ke dalam makam penetapan yang tidak akan berubah lagi. Bebaslah hatinya daripada lintasan dan rangsangan. Pancainderanya tidak ada kekuatan lagi untuk melakukan maksiat. Dia adalah umpama malaikat suci yang dipelihara daripada dosa dan noda. Allah s.w.t pun membuka pintu rahmat dan keredaan-Nya. Hatinya dipenuhi oleh cahaya iman dan ilmu. Dia dikembalikan kepada kedudukannya yang mulia. Keberkatan dan kesejahteraan hidup dikurniakan semula kepadanya. Dia menjadi tumpuan orang ramai. Mereka bersedia untuk berkhidmat kepadanya. Manusia dari berbagai-bagai lapisan mengunjungi dan memuliakannya. Dia dipelihara secara zahir melalui makhluk tetapi pada hakikatnya melalui kasih sayang dan rahmat Allah s.w.t. Bila dia sudah sampai kepada makam penetapan keadaan yang ada dengannya berkekalan sehingga dia meninggal dunia dan kembali kepada Tuhannya.

Orang yang sedang dilatih pada jalan kerohanian akan mengalami ujian yang mengubah suasana hatinya. Perkara biasa jika doa mereka menjadi tidak makbul sesudah makbul, perkataannya tidak terlaksana sesudah ia mudah menjadi kenyataan. Ada orang yang diberi kebolehan untuk mengubati penyakit. Apa sahaja penyakit yang diubatinya akan sembuh. Kemudian keadaan berubah. Apa sahaja penyakit yang diubatinya tidak akan sembuh. Sesudah itu dia masuk kepada suasana di mana kadang-kadang sembuh dan kadang-kadang tidak sembuh, ada doanya yang makbul dan ada yang tidak makbul, ada firasatnya yang menyata dan ada yang tidak. Latihan yang demikian perlu bagi meyakinkannya bahawa dia tidak akan terlepas daripada pergantungan dengan Allah s.w.t walau dia berada pada makam mana sekali pun. Timbullah keyakinannya bahawa pada setiap makam kerohanian mesti ada pengharapan dan ketakutan kepada Allah s.w.t. Hamba Allah yang dijaga akan ditetapkan untuk menyaksikan kehambaannya pada setiap masa, pada semua makam. Sesiapa yang inginkan kejayaan pada jalan kerohanian dan mencapai ketetapan, hendaklah melazimi kehambaan sepanjang masa dengan sebenar-benar kehambaan pada segala keadaan dan makam.

Orang yang belum mencapai makam penetapan perlu berwaspada dengan dirinya sendiri. Dirinya yang menjadi sumber kepada nafsu dan berbagai-bagai keinginan akan kembali kepadanya dan meninggalkannya beberapa kali. Setiap kali ia datang ia akan cuba mengheretnya kepada apa yang telah ditinggalkannya sebelum tenggelam ke dalam lautan kerohanian dahulu. Ketika ia muncul seketika itu, timbullah keinginannya kepada harta, perempuan dan kedudukan yang pernah dimiliki dan dikasihinya dahulu. Nafsunya meminta dipuaskan dan keinginannya meminta dipenuhi. Nafsu dan keinginannya meminta dia kembali kepada alam yang telah ditinggalkannya. Oleh yang demikian, berhati-hatilah dengan diri sendiri. Jihad terhadap diri perlu dilakukan secara berterusan. Jangan terpedaya dengan helah hawa nafsu dan keinginan yang banyak muslihatnya. Berjihadlah sehingga ia tidak kembali lagi buat selama-lamanya. Baharulah diri itu bangkit semula sebagai insan baharu, bertenaga baharu, berpandangan baharu, mempunyai selera dan citarasa baharu, berwawasan baharu dan segala-galanya pada dirinya adalah baharu yang melayakkannya bergelar hamba Tuhan.

Orang yang sedang melakukan mujahadah perlu mendirikan benteng di sekeliling hatinya. Hati itu perlu dipelihara agar apa sahaja yang selain Allah s.w.t tidak dapat masuk ke dalamnya. Hati mesti dipertahankan dengan pedang tauhid. Apa sahaja yang mahu masuk ke dalam hati dan mencabar kedudukan Allah s.w.t mestilah dipancung dengan pedang tauhid sehingga bebaslah hati daripada yang selain Allah s.w.t. Hati hanya dipenuhi oleh kecintaan kepada Allah s.w.t, ketaatan kepada Allah s.w.t, penyembahan hanya untuk Allah s.w.t, pemujian hanya untuk Allah s.w.t dan tidak ada apa lagi yang mencabar kedudukan Allah s.w.t pada hatinya. Bila keadaan ini sudah sebati dalam hatinya Allah s.w.t memasukkannya ke dalam pemeliharaan-Nya (kewalian). Tugas mengawal hatinya diambil alih oleh tentera-tentera Allah s.w.t yang bertugas melindunginya secara berterusan dengan menggunakan pedang tauhid. Syaitan, hawa nafsu kebinatangan, pengaruh dunia dan makhluk yang merosakkan, angan-angan kosong dan apa sahaja yang tidak baik tidak berupaya lagi menawan hati hamba yang dipelihara oleh Allah s.w.t. Keberkatan, kekeramatan dan kemuliaan yang dikurniakan kepadanya tidak menggoncangkan hatinya. Isteri-isteri, anak-anak dan kaum keluarganya dijaga agar tidak menjadi fitnah kepadanya. Apa sahaja yang daripada dunia ditapis terlebih dahulu sebelum sampai kepadanya agar yang datang itu tetap bersih dan tidak membahayakannya. Beban yang ditanggungnya akan diangkatkan supaya tidak ada lagi penguasaan makhluk ke atasnya. Jadilah dia hamba yang merdeka daripada sekalian makhluk. Dia hanya memperhambakan dirinya kepada Tuhan. Dia masuk ke dalam penjagaan ar-Rahim yang mendakapnya dengan rahmat, kasih sayang dan keredaan-Nya. Penghidupannya adalah berenang dalam lautan takdir, bertindak secara spontan menurut firasat hatinya yang dipenuhi oleh nur suci.

Tanda seseorang itu telah sampai kepada makam takdir dan berada dalam ketetapan adalah Tuhan mengembalikan keinginannya (dalam keadaan terpelihara) dan dia diperintahkan supaya mengambil bahagiannya yang selama ini disimpan bagi keselamatannya. Bahagiannya itu ditahan buat sementara kerana dia masih di dalam perjalanan dan belum mencapai ketetapan. Tanpa ketetapan hati apa yang diingini boleh merosakkan hati itu sendiri. Bila dia sudah memperolehi ketetapan dia boleh menerima bahagiannya tanpa dicederakan oleh apa yang diterimanya itu. Apa yang diperuntukkan kepadanya hanya dia yang berhak mengambilnya. Tidak ada sesiapa yang dapat merebut haknya.

Allah s.w.t menetapkan keadaan hamba-Nya itu sebagai manusia biasa yang bertubuh badan dan hidup di dalam dunia supaya Dia dapat menyerahkan haknya yang Dia sebagai Pemegang amanah telah menyimpannya demi kebaikan si hamba itu sendiri. Bila hatinya sudah teguh dan kuat, tidak boleh digugat oleh apa yang diperuntukkan kepadanya, maka ia diserahkan kepadanya untuk dinikmatinya sebagai balasan terhadap perjuangannya menahan diri dan melawan hawa nafsu. Allah s.w.t bukakan pintu-pintu kebaikan supaya nyatalah kedudukannya pada sisi-Nya dan terbuktilah kebenaran janji-janji-Nya kepada hamba-hamba-Nya yang bersungguh-sungguh dalam mentaati-Nya. Allah s.w.t bukakan keinginannya terhadap apa yang disediakan untuknya dan dia digerakkan supaya meminta yang demikian. Permintaannya pasti dimakbulkan kerana Allah s.w.t tidak mahu menyekat bahagian yang Dia telah tentukan untuk hamba-Nya, juga supaya terbukti kedudukan hamba itu, keredaan Allah s.w.t kepadanya dan keberkatan doanya. Itulah nikmat yang Allah s.w.t sediakan untuk hamba-hamba-Nya yang benar-benar ikhlas kepada-Nya, bersabar terhadap ujian-Nya dan reda dengan takdir-Nya, sekalipun panjang masa perjuangannya dia sentiasa mengawal diri agar tidak keluar daripada sempadan yang Dia tentukan dan melalui berbagai-bagai peringkat kerohanian sehinggalah mencapai makam penetapan dan pemeliharaan Allah s.w.t. Setelah melengkapi bulatan perjalanannya dia kembali kepada kedudukannya sebagai seorang individu untuk mengambil bahagiannya dalam kehidupan dunia ini sehingga berakhir hayatnya.

Tarekat ujian bala adalah sistem latihan kerohanian yang Allah s.w.t susun kepada hamba-hamba-Nya yang dipilih untuk melaksanakan kewajipan sebagai khalifah atau wakil-Nya di bumi, menyeru umat manusia supaya kembali kepada jalan-Nya. Mereka mengajar manusia supaya mengenal Tuhan, mentaati peraturan-Nya, memakmurkan bumi ini dengan kebaikan dan membasmi kemunkaran. Tuhan Yang Maha Mengasihi tidak berhenti menghantarkan wakil-wakil-Nya kepada umat manusia supaya orang yang benar-benar ikhlas mahu mencari-Nya akan menemui-Nya melalui bimbingan wakil-Nya.

About helwa

We enter this world alone, we take our last bow from this plane of existence alone...we stood before Him alone....
This entry was posted in da'wah, tarbiyah,tazkirah, tasawwuf and tagged . Bookmark the permalink.

One Response to TAREKAT UJIAN BALA BENCANA: Cedokan Dari Kitab Kebenaran Hakiki

  1. Rafie says:

    thank you for the information, May we meet someday InsyAllah

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s